Plot Incantation (filem)

Seorang wanita bernama Ronan menceritakan filem itu, memohon penonton untuk menghafal suatu lencana dan melantunkan mantera, "Hou-ho-xiu-yi, si-sei-wu-ma", untuk menghantar berkat dan mengangkat sumpahan dari anaknya Dodo yang berusia enam tahun. Lencana dan mantera ini sering diselitkan sepanjang filem untuk menggalakkan penonton berdoa bersama. Peristiwa filem itu ditayangkan secara tidak linear (tidak menuruti kronologi).

Enam tahun lalu, Ronan, teman lelakinya Dom, dan sepupu Dom, Yuan, melanggar pantang larang agama semasa mendokumentasikan upacara bagi saluran Internet mereka, Ghost Busters. Mereka pergi ke kampung terpencil puak Chen, yakni Dom dan saudara-mara Yuan, yang mengamalkan suatu agama esoterik Yunnan yang menyembah dewa yang dipanggil Bonda Buddha (Buddha-Mother). Puak itu dengan berat hati mengizinkan Ronan selaku orang luar ke kampung mereka, kemudian meminta ketiga-tiganya menyerahkan nama mereka dengan mantera kepada Bonda Buddha. Seorang tua puak memberitahu Ronan bahawa selepas anak perempuannya dilahirkan, dia juga mesti melakukan perkara yang sama. Ronan terkejut kerana dia tidak menyedari bahawa dia hamil. Pada malam itu, kumpulan itu mengintip puak yang melakukan upacara itu, di mana seorang gadis muda nampaknya bersedia untuk dijadikan korban. Gadis yang tidak sedarkan diri dengan tubuhnya ditutupi tulisan rune, ditinggalkan di hadapan terowong, yang menjadi tempat larangan masuk oleh puak itu. Ronan menunggu bersamanya manakala Dom dan Yuan memasuki terowong selepas memusnahkan penghadangnya. Sejurus itu, Yuan keluar dari terowong sambil menjerit manakala Dom kemudiannya didedahkan telah meninggal dunia. Rakaman dari dalam terowong itu telah rosak dan tidak boleh dimainkan. Selepas Dodo dilahirkan, Ronan meninggalkannya di rumah jagaan angkat dan mendapatkan bantuan psikiatri.

Pada masa kini, Ronan telah pulih dan membawa Dodo untuk tinggal bersamanya. Rumah mereka tidak lama kemudian menjadi dipenuhi dengan kejadian yang tidak dapat dijelaskan dan Dodo terganggu oleh kehadiran bayangan. Dodo secara beransur-ansur mengalami penyakit yang melemahkan diri dan kesihatan mental Ronan semakin merosot. Apabila pekerja sosial tiba untuk membawa Dodo pergi, dia dan Ronan melarikan diri dengan bantuan Ming, pengurus yang bersimpati di rumah jagaan angkat itu. Mereka membawa Dodo ke sebuah kuil, di mana seorang paderi dan isterinya bersetuju untuk mempertaruhkan nyawa mereka untuk merawat Dodo, dengan Dodo dilarang daripada makan apa-apa selama tujuh hari berikutnya. Apabila keadaan Dodo semakin merosot dan tulisan rune muncul di seluruh badannya, Ronan memberinya makan. Paderi dan isterinya dibunuh kejam, dan Ronan membawa Dodo ke hospital.

Sementara itu, Ming pergi ke Yunnan untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan tentang agama puak Chen dan menugaskan para profesional untuk memulihkan rakaman Ghost Busters yang rosak. Ming menghantar video yang dipulihkan kepada Ronan dan mati selepas berulang kali menghancurkan kepalanya sendiri. Dalam rakaman itu, ditunjukkan bahawa Dom dan Yuan sampai ke mizbah Bonda Buddha, yang mukanya ditutup dengan kain litup. Semasa cuba menanggalkan litpan itu, Dom telah dirasuk dan mati selepas memecahkan kepalanya.

Ronan mengaku bahawa dia telah berbohong kepada para penonton selama ini. Didedahkan bahawa seorang paderi Yunnan telah memberitahu Ming bahawa Bonda Buddha adalah suatu entiti yang jahat dan jika anda menyerahkan nama anda dengan mantera, ini bermakna anda bersetuju untuk membawa sumpahan itu. Mantera itu sebenarnya berfungsi untuk mencairkan sumpahan, dan bukannya memberikan berkat. Apabila lebih ramai orang melafazkannya, sumpahan itu akan tersebar dan beban sumpah kepada mereka yang memikulnya menjadi lebih ringan. Sumber sumpahan itu ialah wajah Bonda Buddha yang perlu ditutup. Ronan, kini dilitup sepenuhnya dengan rune, kembali ke mizbah di dalam terowong dan meminta nama para penonton sebelum mendedahkan wajah Bonda Buddha pada kamera. Dia dirasuk dan menghancurkan kepalanya sendiri di atas mizbah. Filem ini diakhiri dengan rakaman Dodo sihat dan gembira, membayangkan bahawa beban sumpahan telah dikongsi dengan semua orang yang menonton filem itu.